[EKSKLUSIF] Masalah tidak akan selesai jika kita terus mencela – Ebit Lew

Pendakwah dan usahawan ini merasakan segala kurniaan Tuhan kepada kita harus dimanfaatkan sebaiknya ke jalan ke kebaikan dan kebenaran. – Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menjadi orang biasa pun ada yang mengata, apatah lagi menjadi orang terkenal.
Daripada perkongsiannya di Agenda AWANI bersama hos Essan Yahya, bicaranya tidak secara terang mahu menjadi popular, tetapi matlamatnya untuk ceritanya menjadi bualan ramai adalah supaya menjadi teladan mereka yang mendengarnya.
“Saya belajar daripada guru saya, katanya tidak semua orang dalam dunia diberikan pengikut yang ramai, dalam kata lain jadi orang yang terkenal.
“Contohnya seorang artis ini makan sesuatu kuih, semua orang pun nak makan kuih yang sama.
“Orang tak tahu sedap atau tidak, tetapi sebab artis itu makan di situ jadi orang pun nak ikut.
“Jadi penting orang-orang yang diberi (rezeki menjadi) terkenal ini, mereka kena tonjolkan contoh-contoh yang baik.
“Dalam hadis ada menyebut orang buat baik sembunyi, dosa tersembunyinya terampun.
“Buat baik terang-terangan, dosa terang-terangannya diampun,” katanya.
“Soal ikhlas atau tidak, katanya itu urusan Tuhan dan orang akan tetap berkata.
“Apa yang penting, niat baik perlu dilunaskan dan disebar luas dengan segala kuasa yang ada.
“Saya belajar daripada guru saya, keikhlasan itu ibarat seekor semut hitam di atas batu hitam di malam yang gelap.
“Soal hati ini urusan Tuhan,” ujarnya.
Pendakwah dan usahawan muda berusia 36 tahun ini merasakan bahawa segala kurniaan Tuhan kepada kita harus dimanfaatkan sebaiknya ke jalan kebaikan dan kebenaran.
Untuk itu, baginya, penting untuk menjadi kaya.
Begitupun ia bukan untuk dinikmati semuanya seorang diri, cukup baginya segala yang diinginkan mampu dibeli atau dikecapi dengan lebih mudah.
Bermula dengan amalan infak hasil keuntungan perniagaannya untuk dinikmati bersama golongan memerlukan, kini ramai yang menyumbang ke tabung dana yang diwujudkannya dan pelbagai pihak menawarkan tajaan termasuk orang kenamaan dan selebriti.
Juga, Ustaz Ebit ada pasukan yang menjadi tulang belakangnya menggerakkan usaha bakti supaya ia sampai cepat dan tepat ke sasarannya.
“Orang kata ustaz tak siasat, ustaz tak mohon kebenaran, ustaz tak buat ini itu. Sebenarnya saya ada team dan mereka ini sangat laju.
“Ada satu tempat di Johor Bahru (kami) nak pindahkan empat keluarga. Saya sedang berbual dengan keluarga ini. Saya kata (pada pasukannya) saya mahu empat rumah.
Baginya, masalah di dunia ini takkan selesai selagi kita terus mengata dan mencela. Dan mereka yang di jalan kebaikan tidak sepatutnya terkesan dengan tohmahan orang yang sememangnya takkan pernah berhenti.
Banyak lagi yang dikongsikan Ebit bersama Agenda AWANI, antaranya kisah ibunya yang menjadi peniup semangat langkah dakwahnya, serta peranan isterinya yang menjadi sokongan dalam kehidupannya.

