Bersiap siaga bagi menghadapi lebih banyak ketidakstabilan

Oleh itu, tindakan terbaik bagi Malaysia untuk mengelakkan ketidakstabilan adalah dengan menunggu Muhyiddin membuat keputusan mengenai masa pembubaran parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15. Gambar fail
RAKYAT Malaysia harus bersiap sedia untuk menghadapi lebih banyak ketidakstabilan menyusuli langkah Perhimpunan Agung Tahunan Umno pada hujung minggu memberi mandat kepada presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk mengisytiharkan waktu perpisahan yang muktamad dengan Bersatu.
Pada saat Ahmad Zahid membuat pengisytiharan itu, semua Ahli Parlimen (MP) Umno akan mengundurkan sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), dengan semua menteri dan timbalan menteri Umno mengundurkan diri dari Kabinet.
Itu belum tentu pasti kerana sekiranya pengisytiharan itu dibuat sebelum Ogos, PN akan tetap menjadi kerajaan.
Di sinilah keadaan darurat memainkan peranan pencegahan dalam memastikan tidak ada ketidakstabilan politik demi memastikan fokus jitu kerajaan adalah menangani pandemik Covid-19 bersama dengan pemulihan ekonomi, dan dalam pengertian ini, PN adalah kerajaan sepanjang tempoh penuh darurat.
Jika Umno mungundur dari menyokong kerajaan PN dalam waktu tersebut, apa yang harus dilakukan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah menggantikan sahaja semua Menteri, Timbalan Menteri dan ketua GLC Umno dengan pelantikannya sendiri dari kalangan bukan ahli Umno.
Dengan semua kata-kata kasar yang digunakan di Perhimpunan Umno itu untuk menghentam dan memperlekehkan Bersatu, agak aneh Umno kelihatan begitu ragu-ragu untuk menentukan tarikh keluar sepenuhnya dari PN. Mungkin Muhyiddin hanya perlu mengumumkan rombakan Kabinet tanpa kehadiran Umno sebagai satu langkah strategik untuk membendung keangkuhan Umno.
Kita sekarang berada dalam angka jangkitan empat digit sejak Disember, dan hanya pada 29 Mac, angka itu turun menjadi angka tiga, 941 – yang pertama sejak 24 Oktober tahun lalu.
Ia mungkin memerlukan sebulan dua untuk berubah menjadi angka dua dan satu digit, beberapa bulan lagi untuk mencapai angka satu digit dan sifar, dan berbulan-bulan lagi untuk angka sifar berturut-turut muncul selama lebih dari seminggu.
Sekiranya senario pertama berlaku tiga bulan dari sekarang, kita boleh menjangkakan pilihan raya akan diadakan pada Julai atau Ogos; sementara senario kedua mungkin memerlukan masa enam bulan dari sekarang yang bermaksud pilihan raya kemungkinan akan berlangsung pada Oktober atau November.
Dalam hal ini, perkara utama adalah kita tidak seharusnya berbicara mengenai pilihanraya umum selagi kes jangkitan seharian belum berada di paras sifar, mentelah lagi masih ada banyak masa untuk PRU15 diadakan.
Pastinya akan ada ketidakstabilan politik kerana tiada parti politik yang akan memiliki bilangan 112 MP dalam parlimen. Kita kemudian akan menyaksikan buat pertama kalinya kerajaan minoriti, bersama dengan ketidakstabilannya di mana kerajaan gabungan minority itu akan berkuasa dengan sokongan kurang 112 MP.
Dengan penarikan Umno dari PN, Pakatan Harapan (PH) akan mendahului dengan 88 MP, PN (77 MP), Umno (38), Warisan Plus (9), Pejuang (4), Muda (1), Parti Sarawak Bersatu (2) dan seorang Bebas.
Tetapi adakah ini bermaksud kita akan melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya berjaya memenuhi kedudukan PM9 yang diinginkannya? Tidak semestinya. Ini kerana kerajaan minoriti dibentuk melalui perundingan yang memakan masa. Bagaimana jika ketua Pejuang, Dr Mahathir Mohamad menghulurkan empat MPnya kepada Muhyiddin, menjadikan jumlah MP yang menyokong PN menjadi 81? Dan bagaimana jika Warisan Plus juga mempunyai pemikiran yang sama, meningkatkan jumlah PN menjadi 90 MP menjadikan Muhyiddin sekali lagi PM Malaysia?
Dan kemungkinan MP dari Umno dan PH mengubah sokongan kepada PN boleh menjadi satu kenyataan yang akan meletakkan PN ke depan lagi.
Satu-satunya yang dapat menghalang kemunculan semula kerajaan PN ialah kerjasama Umno dengan PH. Tetapi Ahmad Zahid telah menyatakan dalam Majlis Perhimpunan mengenai dasar tritunggal Umno – “Tidak Bersatu, Tidak Anwar, Tidak DAP”.
Oleh itu, tindakan terbaik bagi Malaysia untuk mengelakkan ketidakstabilan adalah dengan menunggu Muhyiddin membuat keputusan mengenai masa pembubaran parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.
Pada masa kritikal ini, lebih baik bagi semua ahli politik untuk mengambil cuti politik untuk memikirkan perkara yang lebih penting – kestabilan negara atau mengejar kuasa dan jawatan, bersama dengan ketidakstabilan yang menyusul.

