Tidak perlu merayu, tidak perlu malu, rakyat Malaysia lancar #KempenBenderaPutih

Kebanyakan yang menyertai kempen menyatakan, rakyat yang susah tidak perlu berasa malu dan perlu elak daripada melakukan perkara yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarga. – Foto Twitter @saidussyahiran_
KUALA LUMPUR: PADA saat ini, semua rakyat Malaysia berada di dalam keadaan yang tertekan.
Ada yang kehilangan sumber pendapatan, tidak kurang juga yang terpaksa mengikat perut untuk meneruskan kehidupan pada saat getir ini.
Realitinya sekarang, kita dapat lihat, yang senang menjadi susah dan susah makin merana, dek kerana wabak COVID-19 yang mula menular di negara ini awal tahun lalu.
Kita sedar tidak ramai yang berani tampil ke hadapan dan mengaku mereka kini dalam keadaan yang susah, membuatkan mereka memilih untuk mendiamkan diri.
Terkini, rakyat Malaysia tampil dengan satu kempen yang dipanggil #KempenBenderaPutih yang meminta orang ramai yang dalam kesusahan menaikkan bendera putih bagi memaklumkan kepada umum bahawa mereka memerlukan pertolongan.
Daripada gambar yang dikongsi, kebanyakan mereka menyatakan, rakyat yang susah tidak perlu berasa malu dan perlu elak daripada melakukan perkara yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarga.
Aznil atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil turut menyatakan langkah ini adalah yang terbaik untuk memberitahu wakil rakyat di kawasan masing-masing supaya datang menghulurkan bantuan.
Masih ada yang akan membantu anda, percayalah.

