Banjir Kelantan: Bukan enggan berpindah, tetapi PPS penuh – Penduduk

Penduduk setempat Norhiza Hamzah, menyuap nasi kepada anaknya ketika tinjauan di Kampung Tersang Rantau Panjang, 21 Dis 2021. –fotoBERNAMA
Salah seorang penduduk, Junaidah Awang Senik, 59 tahun, berkata, dia sudah tiga malam bermalam di rumahnya yang dinaiki air.
“Katanya, PPS sudah penuh. Jadi, kami tidurlah dalam rumah yang digenangi air. Tidur dalam air, atas katil. Tak boleh nak pindah. Makan minum masak di sini sahaja,” katanya yang ditemui semalam, ketika keadaan cuaca semakin baik dan air banjir mula surut.
“Kami tak pindah kerana bimbang, sekarang ramai penjenayah dadah. Kalau tiada orang di rumah, tak sedap hati juga,” kata Ismail Salleh yang tinggal tujuh beranak di rumah yang digenangi air di sini.
Ismail bimbang meninggalkan rumah kerana jarak sempadan thailand, yang dipisahkan dengan sungai golok, tidak sampai 80 meter serta mudah diseberangi pada waktu ini.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Bencana) Bahagian Koordinasi Dan Projek Khas Nik Mohamed Noor Nik Ishak memaklumkan, pihaknya telah menyediakan dua lagi PPS bagi menggantikan PPS SK Tok Deh yang sudah penuh.
“Yang terdekat, enam kilometer dari sini. Mereka boleh pindah ke sana. Jika mereka pergi ke SK Tok Deh, satu caranya, pihak urusetia akan uruskan. Tiada masalah,” kata Nik Mohamed Noor.
Menurutnya, penduduk dinasihatkan berpindah bagi mengelakkan berlaku kenaikan paras air sungai pada waktu malam.
Pada masa sama, perpindahan awal boleh mengelakkan berlaku kesesakan dan kesulitan jika berlaku kenaikan air pada waktu malam.
Mangsa banjir yang ingin berpindah bagi daerah Pasir Mas boleh menghubungi Pejabat Kordinasi Operasi Bencana Pasir Mas di talian 09-7917717 atau 09-7917963 yang beroperasi 24 jam.

