Banyak warga tempatan jadi dalang jenayah rentas sempadan – Panglima Angkatan Tentera

KUALA LUMPUR: Kebanyakan aktiviti jenayah rentas sempadan didalangi tekong dan warga tempatan yang mengambil kesempatan dalam keadaan tidak menentu sekarang, terutamanya berkaitan COVID-19.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, situasi itu tidak harus dibiarkan berlanjutan kerana akan merugikan dan menjejaskan kesejahteraan negara.
Menurutnya, agensi penguatkuasaan sentiasa komited membanteras masalah tersebut dan sejak Op Benteng dilaksanakan, seramai 9,677 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.
“Seramai 831 orang tekong (darat dan laut) dan 374 orang penyeludup ditahan sepanjang tujuh bulan operasi ini dilaksanakan.
“Hasil daripada penahanan dan tangkapan ini, kita telah dapat mengumpulkan barang rampasan yang keseluruhannya bernilai sehingga RM199 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Prosedur Terap Operasi (PTO) Op Benteng di sini hari ini.