Harris Alif berehat daripada bidang lakonan untuk hapuskan imej kanak-kanak
PENYANYI Harris Aliff mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada bidang lakonan berikutan enggan lagi dikaitkan dengan imej kanak-kanak.
Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi, berkata, perkara itu dirasakan wajar seiring dengan kematangan usianya yang kini sudah mencecah 20 tahun.
“Sejujurnya bila berlakon banyak watak besar yang mereka tak boleh nak berikan pada saya sebaliknya watak seperti budak-budak sekolah selalu diberikan pada saya.
“Sebab itu saya buat keputusan untuk berehat sekejap, bagi orang lupa yang yang saya ni pelakon dan bila sampai masanya saya dah nampak matang sikit baru saya kembali dalam bidang lakonan.
“Malah, kalau ada tawarab yang melibatkan sekolah pun saya nak elakkan. Bukan nak tolak rezeki tapi saya tak mahu dibayangi Harris Idola Kecil atau Harris Geng Bas Sekolah,” katanya kepada mStar Online.
Harris ditemui pada majlus pelancaran single terbaharunya berjudul Pencinta yang diadakan di Hotel Dorsett Kuala Lumpur, di sini, Selasa.
Bakat Harris digilap setelah memenangi beberapa pertandingan nyanyian sewaktu berusia 11 tahun.
Dalam pada itu, Harris berkata dia memilih untuk fokus dalam bidang nyanyian sekaligus membina imej yang lebih matang menerusi single pertamanya, Pencinta.
“Sebelum ini saya pernah berehat sekejap daripada menyanyi untuk fokus dalam mengacara dan pada masa sama berlakon.
“Lagi pula ketika itu artis baharu tumbuh bak cendawan selepas hujan. Masa tu pun saya masih tak dapat komposer yang sesuai dan kebetulan rezeki dalam bidang lakonan dan mengacara.
“Lagu ciptaan abang Ajai ini akhirnya menunjukkan saya bukan Harris yang dulu. Sebelum ni saya selalu nyanyi lagu-lagu yang rancak dan saya pun tak dapat buat apa yang saya betul-betul suka. Lagu ini menonjolkan sisi saya yang lebih matang,” ujarnya.