Jabatan Perikanan Terengganu berkas bot nelayan tempatan ceroboh perairan

Jabatan Perikanan Terengganu tahan tiga bot nelayan Kelas C dalam operasi pada Khamis. – Foto Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Musim tengkujuh tidak menghalang bot-bot nelayan Kelas C mengambil kesempatan untuk menceroboh kawasan pesisir pantai.
Namun, kelibat nelayan-nelayan tempatan itu yang cuba menangkap ikan di kawasan larangan, dapat dihidu Jabatan Perikanan Terengganu dengan penahanan tiga bot Kelas C dalam operasi pada Khamis.
Ketiga-tiga bot dari Pahang itu dikesan antara jam 1.30 pagi dan 2 pagi pada jarak antara 4.4 dan 7.3 batu nautika dari Pulau Nyirih, Kuala Dungun.
Ketika ditahan, kesemua bot itu berada pada jarak kurang 12 batu nautika dari Pulau Nyirih.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim yang turut menyertai operasi itu, pada jarak itu, hanya nelayan Terengganu dibenarkan untuk menangkap ikan.
Katanya, kesemua rampasan, termasuk bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM3 juta.
“Jarak 12 batu nautika ialah zon kawasan tangkapan yang dikhususkan untuk negeri tersebut. Jadi, kalau dalam konteks perairan Terengganu, 12 batu nautika dikhususkan untuk bot-bot yang berdaftar di Terengganu sahaja.
“Bot yang berdaftar di negeri lain di luar daripada Terengganu, mereka dibenarkan menangkap ikan di luar daripada 12 batu nautika,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
Ia melibatkan anggaran jumlah sitaan sebanyak RM50 juta.