Misi WHO temui petunjuk penularan lebih meluas di Wuhan pada 2019
GENEVA: Penyiasat dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam misi mencari asal-usul penyakit COVID-19 di China dilapor menemui petunjuk wabak yang lebih meluas di Wuhan pada bulan Disember 2019.
Ketua penyiasat untuk misi WHO, Peter Ben Embarek memberitahu CNN bahawa misi itu telah menemui beberapa petunjuk penularan meluas pada dua tahun lepas.
Embarek, yang baru saja kembali ke Switzerland dari Wuhan, memaklumkan kepada CNN “Virus ini tersebar luas di Wuhan pada bulan Disember, yang mana merupakan penemuan baharu.”
Pakar keselamatan makanan WHO itu menambah pasukannya telah dimaklumkan saintis China dengan 174 kes koronavirus di dan sekitar Wuhan pada bulan Disember 2019.
Daripada jumlah tersebut, 100 daripadanya telah disahkan oleh ujian makmal, dan 74 lagi melalui diagnosis klinikal simptom pesakit.
Embarek berkata ada kemungkinan penyakit ini telah menjangkiti sekitar 1,000 orang di Wuhan pada Disember dua tahun lalu.
“Kami belum melakukan pemodelan tentang itu, tetapi kita tahu, secara dasarnya, daripada jumlah populasi yang dijangkiti, kira-kira 15 peratus merupakan kes yang teruk, dan sebahagian besarnya adalah kes ringan,” kata Embarek dalam temu bual eksklusif bersama CNN.
Embarek berkata misi yang terdiri daripada 17 saintis WHO dan 17 saintis Cina itu telah memperluas jenis bahan genetik virus yang dikaji daripada kes-kes koronavirus awal pada bulan Disember 2019.
Embarek sebelum ini menafikan teori virus itu dihasilkan di makmal China.
Penyiasat WHO juga percaya virus berkenaan berasal dari haiwan sebelum dipindahkan kepada manusia.
Walaupun dapatan asal merumuskan virus berasal dari kelawar, namun ia dipercayai bukan dari Wuhan.
Pasukan itu turut menyarankan China menyiasat rangkaian pengangkutan produk sejuk beku, kerana disyaki menjadi punca pemindahan virus.