Penggunaan katil ICU COVID-19 cecah 125 peratus di Lembah Klang

Dr Noor Hisham menggesa rakyat Malaysia untuk terus patuh berada di rumah jika tiada urusan penting di luar. – Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan katil rawatan kritikal (ICU) pesakit COVID-19 di Lembah Klang kini mencapai 125 peratus, setakat Selasa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar keseluruhan penggunaan katil ICU pesakit COVID-19 di seluruh negara pula mencecah 74 peratus.
Manakala Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan katil Covid-19 ICU melebihi 80 peratus.
“Hospital COVID-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit COVID-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.
“Peningkatan kes-kes secara mendadak kebelakangan ini telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya dalam sau hantaran di Facebook beliau pada Rabu.
Justeru, Dr Noor Hisham menggesa rakyat Malaysia untuk terus patuh berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

