Selagi ayah ada, saya boleh jaga dia
KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.
Begitulah yang dapat digambarkan tentang kasihnya seorang bapa sehingga berat hati untuk melepaskan anak perempuannya dalam satu majlis akad nikah, baru-baru ini.
Video ijab kabul pasangan Sharifah Natasha Aqilah Syed Mohd Nasir, 29, dan Luqman Alhakim Halid, 28, menjadi tular sehingga menerima hampir 500,000 tontonan setelah ia dimuat naik oleh adik pengantin perempuan, Sharifah Naqiyah Afiqah menerusi laman Twitter.
Bercerita kepada mStar Online, Sharifah Naqiyah Afiqah, 22, memaklumkan dia dan hadirin yang lain turut sebak tatkala menyaksikan air mata ayahnya, Syed Mohd Nasir Syed Ismail, 54, tumpah sewaktu acara itu berlangsung.
“Untuk pengetahuan, itu kali pertama saya tengok ayah menangis depan mata. Sebelum ni kalau dia sedih atau kecewa pun, dia tak tunjuk perasaan dia.
“Masa tu saya tengah bersedia rakam video, lepas tu tengok ayah menangis. Saya, kakak, adik beradik, dan nenek pun turut menangis.
“Semua turut sebak, sebab ayah ni jenis daddy cool, masa tu orang cakap dalam hati dia ada taman,” katanya sewaktu dihubungi pada Selasa.
Tambah gadis ini yang lebih senang disapa sebagai Naqiyah, dia juga beranggapan bapanya gagal mengawal emosi kerana belum puas mencurahkan kasih sayang untuk anak sulungnya itu.